Lagi RM96 juta untuk jayakan fasa dua Pusat Perubatan Sunway Pulau Pinang
17 July 2023
Oleh Nur Izzati Mohamad - Julai 17, 2023 @ 4:49pm
BUTTERWORTH: Kumpulan Perubatan Sunway membuat pelaburan tambahan berjumlah RM96 juta bagi menjayakan fasa dua pembinaan hospitalnya di Pulau Pinang.
Ketika ini, fasa pertama projek terbabit yang menelan perbelanjaan RM335 juta, sudah siap dibina dan beroperasi pada 11 November tahun lalu.
Pengasas yang juga Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah AO, berkata pelaburan fasa kedua berkenaan membolehkan pihaknya mengembangkan lagi fasiliti kesihatan ke atas hospital pertama kumpulan berkenaan di negeri itu.
"Bagi fasa pertama, kita mempunyai kapasiti 200 katil dan selepas pembangunan fasa kedua yang dijadualkan siap pada pertengahan tahun hadapan kapasitinya akan meningkat kepada 130 katil menjadikan keseluruhan sebanyak 330 katil.
"Ia adalah menjadi hasrat kumpulan kita untuk memenuhi permintaan perkhidmatan kesihatan," katanya pada Majlis Perasmian Pusat Perubatan Sunway Pulau Pinang, di Seberang Jaya, di sini, hari ini.
Majlis perasmian pusat perubatan premium yang memberi perkhidmatan kepada masyarakat di bahagian utara negara itu disempurnakan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Pusat perubatan itu adalah hospital penjagaan tertiari yang komprehensif itu, menawarkan lebih daripada 30 bidang kepakaran perubatan, khusus dengan fokus utama pada penjagaan kanser dan rawatan penjagaan akut.
Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, kehadiran Sunway di Pulau Pinang adalah berdasarkan model kejayaan Bandar Sunway Kuala Lumpur, bandar hijau terintegrasi pertama di Malaysia.
"Pusat Perubatan Sunway Pulau Pinang adalah penambahan terbaru dalam pembangunan terintegrasi kita di sini yang mana lebih dari 600 profesional penjagaan kesihatan akan bekerjasama untuk menyediakan penjagaan pesakit yang cemerlang.
"Dengan sokongan Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengambil kira rekod prestasi Sunway, Pusat-pusat Perubatan Sunway berada di landasan tepat untuk menjadi kumpulan penjagaan kesihatan swasta terkemuka di Asia Tenggara," katanya.
Sementara itu, Dr Zaliha berkata, terdapat keperluan yang besar untuk mempelbagaikan pilihan diagnostik serta rawatan perubatan di kawasan utara.
"Apa yang dilakukan ini melengkapkan usaha KKM dalam memenuhi keperluan perubatan penduduk Pulau Pinang, dengan menawarkan akses kepada pelbagai pilihan diagnostik serta rawatan perubatan seperti radioterapi, perubatan nuklear dan pembedahan robotik.
"Pada masa ini, KKM mengambil langkah memupuk kerjasama yang berkesan antara pusat perubatan swasta dan awam dalam mengurangkan ketidakseimbangan beban kerja, mengoptimumkan penggunaan sumber serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan di peringkat komuniti," katanya.
返回